IPOH – Kerajaan Perak tidak akan menghalang kanak-kanak untuk mengunjungi bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri ini sebagaimana yang berkuatkuasa di Melaka.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tiada halangan buat kanak-kanak datang ke bazar Ramadan berikutan fasa endemik yang baru berkuatkuasa 1 April lalu.
Menurutnya, ibu bapa bagaimana pun perlu sentiasa berwaspada sekiranya membawa anak-anak ke tempat yang sesak dan sempit seperti bazar Ramadan.
“Rakyat perlu ingat, kita masih lagi terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Menerusi pemantauan saya sendiri ramai yang terlupa misalnya semasa berada di kedai makan kerana kita masih lagi terikat dengan SOP,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas hadir Program Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE