KUALA LUMPUR – Seorang pengurus sebuah anak syarikat utiliti negara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan elaun penginapan dan saraan palsu berjumlah RM1,855, tiga tahun lalu.
Norhayati Hamzah, 50, didakwa menggunakan empat dokumen mengandungi tuntutan elaun penginapan dan saraan palsu di antara 22 Disember 2019 dan 5 Februari 2020.
Mengikut pertuduhan utama, wanita itu sebagai pengurus didakwa dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya iaitu Pengurus Jabatan Audit dan Pematuhan di syarikat tersebut, Mohd. Kamal Zulkawi.
Dokumen dengan butiran matan palsu itu digunakan Norhayati untuk mengelirukan prinsipalnya dan tertuduh tahu perjalanan dan penginapan tersebut sebenarnya tidak dibuat.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Jalan Bangsar, di sini di antara 17 Januari dan 26 Februari 2020.
Norhayati didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan dengan curangnya menggunakan empat dokumen tulen yang mengandungi tuntutan elaun penginapan dan saraan sama yang mana diketahuinya mengandungi butiran palsu di tempat dan masa sama.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE