BEIJING – Sebilangan klip video yang tersebar di internet menunjukkan warga kota Shanghai menjerit dari tingkap apartmen mereka selepas dilarang keluar rumah selama lebih seminggu, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Penduduk bandar ketiga terbesar di dunia itu dikenakan perintah berkurung sejak 5 April lalu dengan bekalan makanan dilaporkan semakin kehabisan.
Rakaman video yang dikongsikan di media sosial China itu pada awalnya menunjukkan keadaan waktu malam di Shanghai yang tertera blok-blok pangsapuri.
Tidak lama kemudian, berpuluh-puluh suara jeritan meminta makan dan ubat kedengaran kedengaran dari blok-blok bangunan tersebut. Turut dilihat adalah cahaya lampu sorot yang dinyalakan dari salah sebuah bangunan pangsapuri.
Menurut laporan, sesetengah penduduk kota raya itu dilarang keluar rumah selama lebih dua minggu walaupun untuk mendapatkan bekalan makanan.
Aplikasi-aplikasi penghantaran makanan turut menunjukkan bahawa kebanyakan kedai telah kehabisan stok sekali gus membuatkan penduduk semakin tertekan dan menderita.
Pada Sabtu lepas, sekumpulan penduduk yang kelaparan dirakam cuba merompak sebuah pasar raya selepas makanan mereka dicatu oleh pemerintah.
Pemerintah China sebelum ini merancang untuk melaksanakan perintah berkurung secara berfasa di timur dan barat Shanghai bermula 28 Mac lalu.
Namun, pelaksanaannya diperluaskan ke seluruh bandar raya itu dan tidak berakhir seperti yang dijualkan pada 5 April lepas ekoran kes yang semakin meningkat.
Sebanyak 26,087 jangkitan Covid-19 dilaporkan di bandar hab kewangan China itu kelmarin sekali gus angka tertinggi yang pernah direkodkan. – AGENSI