fbpx

Pendeposit TH dinasihat elak kongsi, dedah maklumat peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan Tabung Haji.

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati semua pendeposit agar tidak mudah percaya dengan pihak yang tidak dikenali sekiranya menerima panggilan telefon berhubung transaksi pemindahan wang bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamad Ameen Abdul wahab berkata, pihaknya mengambil maklum akan kenyataan Polis berkaitan sindiket Macau Scam yang melibatkan pengeluaran wang daripada akaun pendeposit TH yang dihubungkan dengan akaun bank-bank konvensional.

“Kami ingin menegaskan bahawa TH tidak pernah menghubungi mana-mana pendeposit bagi sebarang tujuan transaksi pemindahan wang.

“Pengeluaran tunai hanya boleh dilakukan di kaunter TH melalui pengesahan identiti, perbankan internet pula dikawal dengan kata laluan dan TAC manakala pengeluaran melalaui ATM bank-bank rakan strategik TH dikawal dengan pin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pengeluaran tunai daripada akaun TH juga tidak boleh dilakukan melalui platform THiJARI atau dilaksanakan melalui panggilan telefon.

“Ini kerana arahan pindahan telegrafik di kaunter hanya boleh dibuat daripada akaun TH ke akaun milik sendiri sahaja. Oleh itu, wang di dalam TH sememangnya selamat,” ujarnya.

Mohamad Ameen berkata, pendeposit juga disarankan untuk sentiasa memastikan nama dan kata laluan akses kepada platform perbankan internet rakan strategik TH tidak dikongsikan dengan mana-mana pihak.

“Selain itu, jumlah pindahan harian juga boleh dihadkan melalui perbankan internet bank-bank rakan strategik TH serta membuat semakan penyata akaun secara berkala melalui aplikasi THiJARI.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mendedahkan sebarang maklumat akaun mahupun maklumat peribadi dalam apa jua keadaan sekalipun. Untuk sebarang nasihat atau pertanyaan lanjut, boleh berhubung dengan pusat panggilan TH (THCC) di talian 03-6207 1919,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI