IPOH – Pematuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 khususnya di bazar-bazar Ramadan di negeri ini adalah kurang memuaskan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebilangan pengunjung dilihat mulai leka dan cuai termasuk tidak mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki bazar.
Malah katanya, ada dalam kalangan peniaga juga dikesan tidak memakai pelitup muka dengan cara yang betul apabila diletakkan di bawah dagu.
“Saya perlu berikan teguran ini selepas pergi ke beberapa bazar Ramadan dan mendapati berlaku pelanggaran SOP dengan tahap pematuhan juga tidak memuaskan.
“Orang ramai mulai leka dan cuai contohnya kod QR telah diletakkan di laluan masuk bazar, tapi tiada siapa yang imbas kod itu pun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perjumpaan Ketua Polis Perak bersama ketua agama Kristian, Hindu dan Buddha di Auditorium Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan di semua bazar Ramadan di negeri ini akan diadakan dalam masa terdekat bagi memantau tahap pematuhan orang ramai terhadap SOP Covid-19. – KOSMO! ONLINE