LONDON – Kes Covid-19 di seluruh dunia berterusan reda pada minggu lalu dengan kadar jangkitan global turun kepada sekitar satu juta kes sehari, manakala angka kematian pula di bawah 3,400 walaupun beberapa titik panas masih kekal termasuk Korea Selatan yang merekodkan lebih 1.5 juta jangkitan sepanjang tempoh tersebut, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
Secara keseluruhan, sejumlah 498,933,656 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh dunia setakat minggu lalu. Menurut laman web pemantauan wabak Worldometers.info, penurunan yang dicatatkan adalah sebanyak 23 peratus.
Angka kematian terkumpul sejak pandemik melanda pula adalah sebanyak 6,202,788.
Angka jangkitan dan kematian dilaporkan menurun di setiap benua kecuali di Amerika Utara dengan peningkatan kes di Amerika Syarikat (AS) dan Mexico, manakala kematian meningkat di Oceania didahului oleh Australia serta New Zealand.
Minggu lalu, kes harian dilaporkan menurun kepada 768,473 kes pada Isnin lalu iaitu yang terendah dicatatkan sejak 764,439 kes pada 15 Disember 2021, sebelum varian Omicron menjadi dominan. Sebanyak 2,775 kematian direkodkan pada Isnin lalu, juga terendah selepas 2,664 kematian dicatatkan pada 25 Mac tahun lalu.
Kadar purata sebanyak 3,318 kematian pada minggu lalu pula adalah yang terendah sejak Mac tahun pertama pandemik Covid-19 melanda. Purata kes mingguan Covid-19 pula adalah sebanyak 1,042,868 kes iaitu terendah selepas 989,193 kes dicatatkan pada 28 Disember tahun lalu yang merupakan kali terakhir kes di bawah angka satu juta.
Kebimbangan mengenai jangkitan Covid-19 dilaporkan berkurangan sejak ia diisytiharkan sebagai pandemik lebih dua tahun lalu.
Dalam tinjauan pendapat Gallup yang dijalankan pada 15 hingga 21 Mac lalu, hanya 35 peratus penduduk dewasa di AS menyatakan bahawa mereka berasa sangat atau agak bimbang dijangkiti Covid-19.
Angka tersebut adalah yang terendah berbanding 64 peratus yang direkodkan pada April 2020.
Bagaimanapun, saintis kanan AS, Dr. Anthony Fauci meramalkan berlaku peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh beberapa minggu akan datang dan potensi lonjakan lebih awal pada musim luruh 2022. – Agensi