fbpx

myPTPTN mudah, cepat dan selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aplikasi terbaharu PTPTN dikenali myPTPTN.

PETALING JAYA – Aplikasi myPTPTN yang dilancarkan baru-baru ini adalah selari dengan Teras ke-5 Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan.

Menurut Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid, ia juga bertepatan dengan agenda pendigitalan yang dihasratkan oleh kerajaan sebagaimana inisiatif MyDIGITAL sebelum ini.

Jelas beliau, dengan adanya aplikasi itu, ia akan mengintegrasikan semua kemudahan dalam satu sistem yang bakal memanfaatkan lebih 3.63 juta peminjam dan 5.28 juta pendeposit Simpan SSPN.

“Aplikasi myPTPTN ini bertujuan untuk memudahkan urusan pelanggan mendapatkan perkhidmatan PTPTN pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa sempadan dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

“Antara kelebihan myPTPTN adalah pelanggan boleh membuat transaksi bayaran balik, penambahan deposit Simpan SSPN serta perkhidmatan lain dengan hanya menggunakan satu platform sahaja,” katanya kepada Kosmo!.

Mengulas lanjut, Ahmad Dasuki berkata, jika sebelum ini pelanggan perlu melayari portal yang berbeza untuk mendapatkan perkhidmatan PTPTN.

Bagaimanapun, katanya, kini pelanggan dapat menikmati pelbagai kemudahan PTPTN dalam satu aplikasi secara Single Sign On (SSO).

Aplikasi ini akan menyalurkan sebarang maklumat kepada pelanggan dengan kadar lebih cepat melalui ‘push notification’ di inbox yang terdapat dalam aplikasi berkenaan.

“Inilah kecanggihan teknologi dalam ‘mobile app’ myPTPTN, melalui aplikasi ini pelanggan tidak perlu beratur di kaunter kerana semuanya hanya di hujung jari.

“Pengguna boleh memuat turun aplikasi ini melalui platform pengedaran digital seperti App Store bagi pengguna iOS, Play Store bagi pengguna Android dan Huawei AppGallery bagi pengguna Huawei,” ujarnya.

AHMAD DASUKI

Ahmad Dasuki menambah, bagi memastikan keselamatan pengguna dilindungi, aplikasi myPTPTN dilengkapi Electronic Know Your Customer (eKYC).

“Ia adalah proses mengesahkan dan mengekalkan rekod identiti pelanggan yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia sebagai salah satu kunci keselamatan transaksi digital.

“Pelanggan perlu membuat pendaftaran dan pengesahan pengenalan diri melalui kad pengenalan dan foto yang diambil semasa pengesahan dibuat.

“Setiap pengguna memerlukan pengesahan identiti secara elektronik sebelum membuat sebarang urus niaga termasuk dengan cara pengesahan e-mel dan nombor telefon semasa pendaftaran serta transaksi disahkan dengan menggunakan Transaction Authorisation Code (TAC),” ujarnya.

Justeru katanya, pengguna tidak perlu bimbang menggunakan kemudahan dalam myPTPTN kerana segala transaksi adalah mudah, selamat dan terjamin.

Sementara itu, mengulas mengenai perkhidmatan baharu itu, seorang akauntan di sebuah universiti awam, Azura Alias, 47, berkata, melalui aplikasi itu telah memudahkan urusan orang ramai melaksanakan pelbagai semakan dan transaksi dengan agensi berkenaan.

Katanya, urusan seperti semakan baki pinjaman, pindahan ke akaun lain, potongan gaji untuk simpanan dan pelbagai perkhidmatan lain boleh dibuat dengan pantas menggunakan telefon bimbit dan tidak perlu ke laman sesawang lagi.

“Sejak ia dilancarkan pada 29 Mac lalu saya terus menggunakan aplikasi ini untuk semua urusan dengan PTPTN, sebelum ini saya gunakan laman sesawang sahaja.

“Aplikasi ini sangat membantu kerana saya boleh menyemak baki semasa akaun anak-anak dan juga menyemak baki pinjaman.

“Selain itu, urusan pindahan wang ke akaun anak saya juga dapat dilakukan dengan mudah dan pantas berbanding menggunakan laman sesawang sebelum ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI