SABAK BERNAM – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang lebih 17 jam ketika mencari daun palas berjaya ditemui di Parit 9 Ban Canal, Sekinchan di sini, hari ini.
Mangsa berusia 60an ditemui kira-kira pukul 2.55 petang tadi selepas hadir sendiri di pos kawalan bomba.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, berdasarkan maklumat mangsa disedari hilang ketika pergi ke kebun di sekitar kawasan itu kira-kira pukul 7.30 malam semalam.
Katanya, seramai 15 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan ditugaskan bagi operasi pencarian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 9.24 pagi.
“Operasi pencarian turut dibantu polis, Jabatan Perhutanan dan penduduk kampung.
“Mangsa kemudian ditemui selepas datang sendiri ke pos kawalan bomba di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Norazam, pemeriksaan awal mendapati lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. -KOSMO!ONLINE