PUTRAJAYA – Sistem e-Konsular yang menerima dan memproses permohonan Sijil Kelakuan Baik (SKB) di Kementerian Luar Negeri telah pun disahkan kembali pulih seperti biasa.
Menurut kenyataan Wisma Putra, pemohon tidak perlu berasa bimbang kerana mereka akan dapat menerima sijil tersebut yang diproses dalam tempoh masa ditetapkan.
Ia turut menafikan satu laporan akhbar tempatan yang menyatakan bahawa masalah teknikal pelayan sistem di kementerian itu konon menyebabkan berlaku kelewatan pengeluaran SKB.
“Sebenarnya, isu kelewatan pemprosesan sijil tersebut berpunca daripada masalah teknikal yang berlaku pada perkakasan sistem data Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelas Wisma Putra hari ini.
Bagaimanapun ujarnya, tindakan segera telah diambil dan langkah penyelesaian sudah pun dipersetujui antara Kementerian Luar dan PDRM dalam menangani masalah kelewatan itu.
Segala usaha yang diambil tersebut, ujar Wisma Putra, adalah amat penting bagi memastikan prosedur penyampaian perkhidmatan rasmi yang diperlukan oleh orang awam tidak terjejas.
Sehubungan itu, proses permohonan SKB kini kembali berjalan seperti biasa dengan tempoh menunggu untuk kelulusan adalah tidak akan melebihi daripada satu sehingga dua bulan.
Tempoh yang diambil berkenaan jelas Wisma Putra, sama seperti yang dinyatakan sebelum ini menerusi sistem e-Konsular dan laman sesawang rasmi kementerian berkenaan sendiri.
“Semua pemohon dinasihatkan supaya memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan dalam sistem tersebut bagi membolehkan SKM yang dimohon dapat dikeluarkan sewajarnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE