fbpx

Dua cedera dilanggar kereta lawan arus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar suspek dan kereta yang dipandunya melawan arus sehingga melanggar dua penunggang motosikal di SKVE semalam

KUALA LANGAT – Dua penunggang motosikal cedera selepas dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu seorang lelaki secara melawan arus di Kilometer (KM) 30.1 Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.49 petang itu, kedua-dua mangsa cedera di kaki dan tangan telah dihantar ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.

Turut ditahan adalah pemandu kereta tersebut berusia 42 tahun yang menerima rawatan di hospital sama kerana cedera di kepala kira-kira pukul 4 petang hari sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa penunggang motosikal jenis Honda Dash dalam perjalanan ke Bandar Saujana Putra dari Banting.

Katanya, penunggang itu kemudiannya memberhentikan motosikalnya di hadapan Perodua Bezza yang berhenti di lorong kecemasan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Tanjung 12 SKVE.

“Bagaimanpun, secara tiba-tiba kereta berkenaan bergerak semula lalu melanggar sisi bahagian hadapan motosikal tersebut sehingga menyebabkan penunggangnya terjatuh serta cedera di kaki dan tangan.

“Pemandu kereta itu terus bergerak melawan arus di lorong kecemasan dan melanggar sebuah lagi motosikal jenis Yamaha LC 135,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelanggaran itu seterusnya menyebabkan penunggangnya tercampak di jalan dan cedera di kedua-dua tangan dan kaki.

Tambah Ahmad Ridhwan, kesemua mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut telah dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan.

“Justeru, mana-mana saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mazrol Mohd. Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Terdahulu, tular aksi lawan arus dilakukan kereta berkenaan menerusi video berdurasi dua minit 30saat di laman sosial Facebook. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI