TANJUNG MALIM – Industri automotif negara melangkah ke hadapan apabila meneroka projek mega berimpak tinggi menerusi pembangunan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (Automotive High-Tech Valley (AHTV) di sini.
AHTV yang diterajui oleh gergasi automotif negara, DRB-HICOM juga bakal meletakkan Malaysia sebagai hab pengeluar kenderaan elektrik dan pembekal komponen ke pasaran ASEAN serta global.
Ia menekankan kepada sistem dan teknologi baharu dalam industri automotif global iaitu elektrifikasi, kepintaran buatan, teknologi autonomi dan ketersambungan termaju.
Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia komited dalam membangunkan industri automotif yang dimajukan berpandu kepada Dasar Automotif Nasional (NAP) sejak tahun 1985.
Menurut beliau, ini kerana pembangunan industri automotif merupakan sektor perkilangan yang bukan hanya penting tetapi juga strategik.
“Pembangunan AHTV telah dicadangkan lebih 10 tahun lalu bagi memantapkan operasi pengilangan PROTON dari Shah Alam, Selangor ke Tanjung Malim supaya lebih berpusat.
“Pembangunan ini juga dapat menarik minat pelabur-pelabur asing khususnya dari China dan negara lain kerana berpotensi
memperkasakan ekosistem dunia automotif,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan pelancaran Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim di sini.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Raja Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi DRB-HICOM Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Perdana Menteri berkata, projek ini juga bakal menyaksikan limpahan ekonomi kepada Tanjung Malim khususnya.
Katanya, sebanyak 370,000 peluang pekerjaan bakal wujud sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.
“Pembangunan lain yang mempunyai rantaian ekonomi seperti Taman Perindustrian dan pembangunan hartanah yang berpotensi menjana sebanyak RM32 bilion menjelang tahun 2030.
“AHTV juga disasarkan menjadi pusat rujukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi teknologi berasaskan pematuhan iklim global dengan penubuhan Universiti Penyelidikan yang signifikan dengan industri ini,” ujarnya.
Beliau yakin dan percaya dengan kemampuan DRB-HICOM dibantu penyelarasan bersama agensi kerajaan berkaitan serta dana
yang disalurkan mampu menjadi projek mega perindustrian automotif yang gah di rantau ini.
“Bagi memenuhi keperluan tenaga kerja terlatih, pendidikan dan juga penyelidikan, saya mencadangkan agar Universiti Pendidikan Sultan Idris membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan,” katanya.
Pada majlis sama juga Perdana Menteri menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara kerajaan negeri Perak dan DRB Hicom untuk mengenal pasti peruntukan tanah tambahan yang sesuai bagi pembangunan AHTV. – KOSMO! ONLINE