KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu di sekitar Ampang, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tangkapan pertama telah dilakukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju sekitar pukul 3 petang.
“Suspek telah ditahan di tepi Jalan Ampang Ulu dan telah merampas sebuah beg yang mengandungi 10 paket plastik disyaki berisi dadah jenis methamphetamine, sebotol cecair mengandungi dadah yang sama dan ketulan mampat daun kering dipercayai ganja.
“Penahanan tersebut telah membawa kepada penahanan suspek kedua di sekitar pangsapuri Astoria, Ampang kira-kira pukul 3.40 petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, siasatan awal mendapati, penglibatan kedua-dua lelaki berkenaan dalam pengedaran dadah jenis syabu di sekitar ibu negara bermula pada awal April tahun lalu.
“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek berusia 33 dan 25 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Sementara jumlah keseluruhan anggaran rampasan dadah bernilai RM74,380 yang boleh menampung keperluan penagih sehingga 4,060 orang,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.- KOSMO! ONLINE