JEMPOL – Kira-kira 100 buah rumah daripada beberapa buah taman perumahan rosak dalam kejadian hujan lebat dan angin ribut yang melanda Bahau di sini petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba Bahau, Mohd. Rasul Hashim berkata, kejadian hujan beserta angin ribut berlaku sekitar pukul 2.45 petang sehingga 4 petang tadi.
Jelasnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.33 petang dan tiba di lokasi kejadian sejurus selepas itu.
“Kami menerima panggilan khidmat khas pokok tumbang yang menutup jalan utama di Kampung Indah dan Taman Merbah.
“Terdapat bumbung rumah penduduk yang rosak dan diterbangkan angin ribut di beberapa lokasi seperti di Taman Bahau, Kampung Baru Indah, Taman Peniaga dan Taman Merbau malah Balai Bomba Bahau juga mengalami kerosakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Mohd. Rasul, pihaknya juga kini memantau keadaan rumah penduduk yang terjejas dan menasihatkan penduduk agar sentiasa berjaga-jaga dengan bahaya elektrik dan runtuhan.
“Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan cedera akibat angin ribu tersebut” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE