PETALING JAYA – Dikecam hebat ekoran kenyataan tentang kualiti pelitup muka disifatkan ‘hauk’, pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie sekali lagi menjadi mangsa kata nista ramai apabila tular sebuah video tali ‘mask’ keluarannya terputus ketika bersiaran langsung (live).
Menerusi video yang tular dalam media sosial, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang juga wajah salah satu produk pelitup muka keluaran Jovian ingin disarungkan mask di mukanya namun lain yang jadi apabila talinya terputus.
Tidak cukup dengan itu, apabila Jovian memberikan sehelai lagi pelitup muka, talinya juga terputus sebelum sempat ingin diberikan kepada penyanyi nombor satu tanah air itu.
“Sebab itu saya takut tau. Sebab kalau saya pegang apa-apa, tangan saya ini gagah sangat,” ujar pelantun lagu Cindai itu sambil disaksikan Jovian dalam video yang tular.
Disebabkan video berkenaan, ramai yang memerli Jovian dengan mengaitkan kononnya beliau barangkali beriya-iya menyokong cadangan penguatkuasaan pelitup muka perlu ada kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) namun kualiti produk sendiri tidak seperti diharapkan.
“Dah malulah tu. Lepas ini, keluarlah kenyataan, kita masih dalam fasa ujian, mungkin akan keluar mask cop SIRIM siri kedua.
“Ini orang kata, yang mahal belum tentu berkualiti, belum apa-apa dah hauk,” demikan antara komen yang ditinggalkan netizen berhubung video berkenaan.
Sebelum ini, timbul cadangan penguatkuasaan pelitup muka perlu ada kelulusan SIRIM namun selepas mengambil kira maklum balas umum, perkara tersebut ditangguhkan.
Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan yang sepatutnya dikuatkuasakan 4 Julai depan ditangguhkan kepada 1 Januari tahun hadapan.
Sementara itu, Jovian yang juga merupakan menantu kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri mempertahankan produknya yang acap kali menjadi bahan ciplak orang lain.
Katanya, perkataan ‘hauk’ yang keluar dari bibirnya disalahertikan sesetengah pihak. Istilah tersebut ditujukan buat mereka yang sewenang-wenangnya menciplak idea produk keluarannya.
“Saya nak jelaskan sikit pasal pelitup muka ‘hauk’ tempoh hari. Banyak yang salah faham, apa yang saya maksud itu ialah pelitup muka Jovian tiruan yang berleluasa di pasaran.
“Tiada niat saya nak memperkecilkan mana-mana jenama pelitup muka lain di pasaran. Lebih dua tahun pelitup muka Jovian tiruan berada di pasaran dan mereka terlibat mengambil kesempatan guna rekaan, monogram, gambar promosi, nama dan logo kami untuk kepentingan masing-masing sehingga menipu pengguna.
“Saya rasa sesuailah saya gunakan istilah hauk itu pada mereka. Ini semua kerja mafia! Tapi, kalau ada yang tersinggung dengan kenyataan saya, saya minta maaf, tiada niat saya nak guris hati kalian,” katanya.
Berkenaan isu SIRIM, Jovian menafikan cadangan tersebut adalah permintaan dirinya sendiri dengan status sebagai menantu Perdana Menteri.
“Bukan permintaan saya mahupun keuntungan bagi saya. Untuk makluman semua, apabila undang-undang dikuatkuasakan, kos akan ditanggung kita semua sebagai penjual? Dari mana pula saya akan dapat untung lebih? Dan, saya boleh jamin bahawa produk saya jenama saya bukan yang pertama ada cop SIRIM. Banyak jenama di luar dah ada cop SIRIM,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE