LONDON – Seorang lelaki Britain terselamat daripada maut apabila sebuah mesin pemotong cakera logam secara tidak sengaja terjatuh ke atas lehernya ketika dia sedang bekerja, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Mark Nicholson dari bandar Cinderford, mengalami detik-detik mendebarkan apabila bilah mesin bersaiz 22.9 sentimeter itu hampir mengenai pita suaranya dalam hanya beberapa milimeter.
Bekas penyelamat pantai dan askar itu berkata, alat itu secara tiba-tiba terjatuh semasa dia bekerja untuk membaiki pintu rumah seorang pelanggan pada 15 Mac lalu.
“Kaki saya tergelincir di bucu papan yang diletakkan pelanggan itu untuk melindungi lantainya. Ketika saya cuba mengimbangi badan, saya terjatuh ke belakang dan bilah mesin pemotong cakera logam terjatuh lalu tertusuk leher saya.
“Saya dengan serta merta meletakkan tangan pada muka untuk memeriksa kecederaan dan ia terasa basah. Namun, saya tahu ia serius,” kata Nicholson.
Lelaki itu ketika itu tahu bahawa arteri utamanya masih dalam keadaan baik kerana darah tidak memancut keluar. Dia kemudian dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan selama dua jam setengah bagi membaiki kerosakan otot dalaman dan luka yang dialami.
Lebih 20 dawai kokot perubatan dilekatkan pada luka di leher Nicholson dan dia tidak boleh makan selama seminggu serta hanya menggunakan kapas untuk membasahkan bibirnya. – Agensi