fbpx

Selangor FC tewaskan Helang Merah 4-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mukhairi (dua dari kiri) berjaya meledak satu gol buat Selangor FC pada aksi sebentar tadi.

PETALING JAYA – Pasukan Selangor FC menamatkan kemarau apabila merekodkan kemenangan pertama pada kempen Liga Super musim ini selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA FC) 4-1 sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya tersebut, skuad Selangor membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan berbisa terdiri daripada Herlison Caion, Shahrel Fikri Md. Fauzi dan Hein Htet Aung.

Namun, pasukan pelawat terlebih dahulu menguji benteng Gergasi Merah tetapi percubaan pemain muda, Amer Azahar pada minit ke-12 mudah diselamatkan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.

Tersentak dengan tekanan tersebut, Selangor FC memperkemaskan jentera serangan dan berjaya meraih gol pembukaan hasil ledakan cantik pemain tengah, Mukhairi Ajmal pada minit ke-26.

Jaringan itu menaikkan motivasi tuan rumah untuk melakukan asakan sebelum menggandakan kelebihan hasil jaringan Caion berselang lapan minit kemudian.

Bersambung pada babak kedua, Selangor terus ghairah menambah gol dan kini giliran pemain gantian, Norhakim Hasan untuk meledak jaringan ketiga skuad Merah Kuning selepas bijak menyudahkan hantaran Caion pada minit ke-83.

Tidak lama kemudian, giliran Norhakim pula membalas ‘jasa’ dengan melakukan hantaran buat Caion meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-87.

Skuad Helang Merah bagaimanapun berjaya meraih gol sagu hati hasil ledakan Fayadh Zulkifli pada masa kecederaan dengan keputusan 4-1 kekal sehingga wisel penamat.

Keputusan tersebut menyaksikan Selangor mengutip lima mata manakala KDA FC kekal dengan sembilan mata pada aksi Liga Super ketika ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI