IPOH – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan setelah dipercayai dirempuh sebuah lori di Kilometer (KM) 281 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) dekat sini awal pagi tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.31 pagi.
Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu.
“Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah lori dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Yamaha LC.
“Mangsa, Mazaitul Hafiszan Ma’an, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” ujar jurucakap itu.
Mangsa dipercayai tercampak di tengah jalan sebelum digilis oleh lori yang sama, bagaimana pun lori berkenaan tiada di lokasi semasa bomba tiba.
Anggota bomba kemudiannya membersihkan lokasi kejadian sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE