KUALA LUMPUR – Seorang pemandu van sekolah tersepit apabila van yang dipandu membawa empat orang kanak-kanak terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di Jalan Pantai Dalam, di sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 1.24 petang.
Menurutnya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah van sekolah terlibat dalam kemalangan akibat terbabas sebelum melanggar penghadang jalan raya.
“Kemalangan itu menyebabkan seorang warga emas berusia 62 tahun yang merupakan pemandu van sekolah tersepit dibahagian tempat duduk pemandu manakala seorang budak berusia 7 tahun mengalami kecederaan kepala,” ujarnya.
Susulan itu, pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan khas dan berjaya mengeluarkan pemandu van sekolah tersebut.
Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE.