PASIR MAS – Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dicekup manakala sembilan lagi PATI serta seorang tekong warga tempatan sempat melarikan diri selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka ditahan polis di kawasan kelapa sawit di Jeram Linang dekat Pasir Puteh, hari ini.
Tangkapan kira-kira pukul 7.30 pagi itu dijalankan oleh tiga buah kereta peronda polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, Machang dan Pasir Puteh selepas MPV jenis Proton Exora itu melarikan diri dari Lemal, Pasir Mas.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, anggota MPV Pasir Mas melihat kenderaan itu dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa membuat rondaan di kawasan bulatan Lemal pada pukul 6 pagi.
Menurutnya, bagaimanapun, pemandu MPV itu telah bertindak memecut laju kenderaan dipandunya terus menuju ke kawasan Machang dan Pasir Puteh.
“Anggota polis telah meminta bantuan daripada unit MPV dari dua daerah itu sebelum berjaya menahan kenderaan berkenaan di kawasan kelapa sawit berdekatan Jeram Linang selepas 1 jam 30 minit mengejarnya.
“Bagaimanapun, hanya empat PATI warga Myanmar berusia dalam lingkungan 21 hingga 33 tahun termasuk seorang wanita berjaya ditahan manakala 10 orang lagi termasuk tekong sempat meloloskan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, usaha mengesan PATI dan tekong yang lolos itu sedang giat dijalankan. – KOSMO! ONLINE