JUARA Piala Malaysia, Kuala Lumpur City (KL City) akhirnya berjaya merekodkan kemenangan pertama musim ini selepas menewaskan Melaka United 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.
Pada aksi tersebut, skuad Warga Kota tidak mempunyai masalah mengutip tiga mata berharga menerusi dua ledakan gol menerusi kapten pasukan, Paulo Josue pada minit ke-3 dan ke-30.
Ketua Jurulatih KL City, Bojan Hodak mengakui akhirnya boleh menarik nafas lega selepas hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan pertama Liga Super musim ini.
“Saya gembira apabila kami berjaya mendapatkan tiga mata berharga tetapi apa yang lebih penting adalah gawang pasukan tidak dibolosi.
“Secara peribadi, saya anggap kegagalan barisan pertahanan menjadi punca pasukan tidak beraksi dengan baik sejak awal musim ini.
“Malah, saya tidak risau dengan jentera serangan kerana percaya penyudah buat mereka akan tiba dan kami hanya perlu bersabar. Kini, saya harap pasukan dapat menjadikan keputusan ini sebagai pemangkin semangat untuk berikan aksi lebih baik,” katanya selepas tamat perlawanan.
Mengulas lanjut, Hodak turut percaya pasukannya pasti bertambah baik apabila beberapa pemain utama seperti Romel Morales, Kevin Koubemba dan Zhafri Yahya kembali mendapatkan kecergasan penuh.
“Pada aksi yang lepas Morales hanya mampu beraksi 45 minit dan kali ini 75 minit. Meskipun dia tidak menjaringkan gol, sumbangannya buat pasukan cukup besar dan mungkin dia boleh beraksi sepenuh masa pada aksi akan datang.
“Situasi sama juga berlaku kepada Zhafri yang hanya dapat beraksi 45 minit kali ini. Koubemba pula saya jangka dia boleh diletakkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan akan datang,” katanya.
KL City dijadualkan bertemu dengan Sabah FC di laman sendiri pada Sabtu ini.