WAJAHNYA kelihatan sungguh natural tatkala bidikan lensa kamera dihalakan kepadanya.
Baru berjinak-jinak dalam dunia peragaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, namun lenggok tubuh pemilik nama Ain Aleesya Nor Azman hampir kelihatan seperti model profesional.
Tidak mengikuti sebarang kelas peragaan, bakat tersebut bagaimanapun datang dengan sendirinya.
Tambahan pula anak kedua daripada tiga orang adik-beradik ini begitu meminati bidang peragaan sejak di bangku sekolah lagi.
Katanya, ketika usia 15 tahun, dia bukan sahaja gemar bersolek, malah turut suka beraksi di hadapan kamera.
Begitupun, disebabkan ketika itu dia masih lagi belajar dan berasakan tidak boleh memberikan sepenuh perhatian memandangkan mahu fokus kepada pelajaran, Ain Aleesya terpaksa melupakan impian tersebut.
Penantian gadis berusia 21 tahun ini bagaimanapun berbaloi, apabila dia kini mampu beraksi di pentas peragaan apabila ditawarkan menjadi model sambilan di beberapa buah syarikat.
Katanya, apabila PKP mula dilaksanakan, minat menjadi model semakin meluap-luap kerana banyak masa terluang.
“Saya bermula dengan menaikkan identiti dengan membuat video TikTok dan tutorial solekan, selain mencari bahan di internet tentang bagaimana mahu menjadi seorang model.
“Satu perkara yang saya nampak kurang adil adalah, kebanyakan model baharu diambil berdasarkan bilangan pengikut di laman sosial, pengaruh dan populariti.
“Menyedari saya bukanlah siapa-siapa, saya bermula dari bawah dan menyertai kumpulan model Muslimah di Facebook dan meminta sedikit tip berkaitan perkara itu,” ceritanya.
Ujarnya, bermula dengan membuat photoshoot secara santai tanpa mengenakan bayaran bersama jurugambar untuk menambah pengalaman, wajahnya turut dijadikan kanvas lukisan oleh juru solek artis.
Akuinya, kesemua itu merupakan pengalaman untuk membina rangkaian bagi membolehkannya bergerak ke arah bidang yang diimpikan selama ini.
“Saya kumpul gambar-gambar sebagai portfolio dan memuat naik di kumpulan tersebut untuk mencari pekerjaan.
“Saya juga akan mencuba setiap peluang yang ditawarkan oleh mana-mana pihak.
“Pertama kali berada di hadapan kamera, saya berasa yakin dan gembira kerana bakat yang lama dipendam itu akhirnya boleh ditonjolkan.
Malahan saya tidak berasa kekok dan jurugambar turut memuji gaya natural saya,” jelasnya.
Biarpun minat Ain Aleesya cenderung ke arah bidang peragaan dan mahu bergelar model Muslimah satu hari nanti, namun gadis ini turut menyimpan cita-cita untuk menjadi pakar psikologi.
Demi merealisasikan cita-cita itu, gadis itu kini sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusia dalam Psikologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di tahun kedua.
Akui Ain Aleesya, dia mahu menjadi seorang individu yang mempunyai pelbagai kemahiran.
“Jurusan ini sangat menarik dan saya nekad untuk mendalami ilmu psikologi kerana secara tidak langsung boleh mengenali sifat manusia.
“Saya mahu memberi sumbangan untuk mengurangkan dan membantu pesakit-pesakit mental yang semakin meningkat saban hari.
“Saya juga mahu memberi kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Ain Aleesya lagi, dirinya begitu tersentuh tatkala membaca isu yang tular baru-baru ini melibatkan seorang wanita dan anaknya yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada kakitangan sebuah kedai menjual barangan serbaneka.
Ini jelasnya, menunjukkan tingkah laku seorang anak merupakan cerminan daripada ibu bapanya.
“Jika cara kehidupannya sudah dipraktikkan sebegitu, maka perkembangan mental anak itu sudah terganggu.
“Pembangunan kanak-kanak dari segi mental dan fizikal amat penting bagi membentuk sahsiah diri mereka.
“Jika sejak kecil sudah dibiasakan dengan kata-kata kesat dan perilaku yang tidak sopan, maka secara tidak langsung dia akan terbiasa untuk melakukannya di khalayak pada masa depan
“Ini kerana, kita biasanya melakukan perkara yang kita perhatikan di sekeliling,” luahnya.