SAUDARA PENGARANG,
Negara telah memasuki fasa peralihan endemik setelah hampir dua tahun bertarung dengan wabak Covid-19.
Jangan sesekali lupa, harga mahal yang harus dibayar jika kita alpa dalam pertarungan menentang Covid-19.
Sikap, tingkah laku serta amalan yang betul dan bertanggungjawab masyarakat merupakan kunci kejayaan dalam pertarungan ini. Pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) bukan sesuatu yang membebankan atau menyusahkan.
Hari Raya Aidilfitri akan disambut tidak lama lagi dan kelebihan perayaan tahun ini adalah kebenaran rentas negeri.
Tidak dinafikan terdapat ramai rakyat termasuk petugas barisan hadapan masih belum sempat merasa suasana sambutan Aidilfitri dengan keluarga tercinta sejak pandemik melanda.
Oleh itu, marilah kita menghargai kejayaan yang dicapai setakat ini. Ingatlah yang ia boleh bertukar menjadi kegagalan pada bila-bila masa. Jangan benarkan kes positif dan kluster baharu wujud hanya kerana sikap lalai.
Yeap Ming Liong
Subang Jaya, Selangor