KUALA LUMPUR – Istilah anti lompat parti yang digunakan dalam pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) pada mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini akan ditukar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penggunaan istilah anti lompat parti hanya bersifat sementara.
“Penggunaan istilah anti lompat parti ini adalah sementara. Dalam RUU ini nanti kita perhaluskan nama yang lebih wajar dan lebih elok,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Wan Junaidi memaklumkan, bilangan Ahli Parlimen yang melompat parti sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seramai 39 orang.
Menurut beliau, keadaan itu merupakan isyarat jelas menunjukkan amalan demokrasi negara ketika ini tidak sihat dan berada pada tahap membimbangkan.
“Sejak PRU-14 negara berdepan pergolakan politik sehingga menyaksikan pertukaran Perdana Menteri tiga kali,” katanya. – KOSMO! ONLINE