fbpx

Hattan memang ‘biso bonar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HATTAN

NAMA penyanyi bersuara ‘jantan’, Datuk Hattan tidak perlu diperkenalkan lagi buat peminat setia dunia muzik tanah air.

Bukan setahun dua mahupun sedekad kelananya dalam dunia seni sebagai penyanyi, tetapi lebih tiga dasawarsa lamanya.

Memburu Rindu, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Meniti Perjalanan, Biso Bonar, Dia, Hitam Bukan Impian, Gadis Jolobu, Gerhana, Selamat Datang Sayang, Tangisan Marhaenis dan banyak lagi judul hitnya menjadi seleksi yang tidak pernah jemu dinikmati halwa telinga.

Semua judul tersebut sudah sebati dan tidak perlu diperkenalkan lagi sama seperti namanya yang utuh sehingga ke hari ini.

Sebut sahaja tajuk lagu, pasti akan terngiang-ngiang melodi dan bait-bait lirik dalam benak fikiran.

Itulah kekuatan dan keampuhan Hattan. Tempoh 35 tahun berada dalam dunia seni bukan satu jangka masa yang singkat dan mudah diselusur.

Anak seni datang dan pergi. Ada yang bertahan, tidak kurang juga yang tenggelam tak timbul-timbul, tetapi berbeza dengan Hattan atau nama sebenarnya Mohd. Shukri Shahabuddin.

Kelebihan dari segi vokal, tidak pernah mendongak ke langit dan sarat pengalaman menjadikan bekas anggota kumpulan rock FRU itu ampuh dalam gelanggang seninya tersendiri.

HATTAN mengakui teruja menjayakan konsert solo terbesar pertamanya yang julung-julung kali diadakan sejak karier seninya menyinar bermula 1987. – Foto ihsan MEWAH EVENT MANAGEMENT

Simbolik kejayaan, licin

Justeru, penat lelahnya menghiburkan peminat selama ini terbalas dengan konsert berskala besar yang bakal diadakan Jun depan.
Hattan – 35 Years Journey. Itu hadiah bermakna dan simbolik kejayaan buatnya.

Akan berlangsung selama dua hari pada 4 dan 5 Jun depan, konsert solo berprestij yang dijadualkan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) besar maknanya buat penyanyi itu.

Kata Hattan, beliau begitu teruja untuk menjayakan konsert solo terbesar dalam kerjaya nyanyiannya sejak mula berkarya pada 1987. Persembahan tersebut dianjurkan oleh Mewah Event Management (MEM).

“Ini bukan sekadar konsert, tetapi diselitkan dengan penceritaan.

“Mungkin ramai tahu saya memiliki puluhan lagu hit dan kebanyakannya akan saya nyanyikan nanti, namun ada juga disampaikan secara medley.

“Saya akan menyampaikan sekitar 22 buah lagu keseluruhannya.

“Kalau diikutkan saya ada banyak lagi lagu, tetapi saya utamakan lagu hit dan yang boleh dinyanyikan bersama peminat,” ujarnya.

Tambah mengujakan dan menjadi semangat buat anak kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan itu untuk beraksi apabila tiket pada malam kedua konsertnya licin diborong.

Sebagai mana tajuk lagunya Biso Bonar, Hattan juga begitu. Selepas 30 minit penjualan tiket dibuka secara dalam talian, tanpa disangka-sangka ada peminat (syarikat korporat) yang sanggup ‘borong’ sehingga tiket pada malam kedua konsert nanti habis licin. Memang ‘biso bonar’.

“Syukur alhamdulillah, 1,500 tiket pada malam kedua sudah habis terjual. Sekarang ini tinggal tiket pada 4 Jun masih berbaki untuk mereka yang mahu menonton dan berhibur bersama,” katanya.

SEBANYAK 22 buah lagu malar segar dan hit sepanjang zaman akan dinyanyikan Hattan dalam konsert
selama dua hari bertempat di KLCC, menjelang Jun depan.

Lama rancang, tergendala

Meneruskan perkongsian usai sidang akhbar minggu lalu, Hattan berkata, perancangan mengadakan konsert solo tersebut sebenarnya sudah direncanakan sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, semua perancangan terpaksa ditangguh dek penangan virus pembunuh digeruni, Covid-19.

“Saya bersyukur masih relevan dalam industri nyanyian. Sejak fasa peralihan diumumkan, saya banyak diundang buat persembahan dalam pelbagai majlis dan acara.

“Sekarang tiba masanya untuk terjemahkan kembara perjalanan seni selama 35 tahun ini kepada semua.

“Ini juga sebagai hadiah dan tanda penghargaan untuk sahabat serta peminat setia yang tidak pernah jemu menyokong karier seni saya sejak 35 tahun lalu,” katanya.

Hattan juga akan menjemput anaknya, Adam untuk berduet menerusi lagu Gadis Jolobu serta penyanyi dan komposer meningkat naik, Yonnyboii sebagai artis undangan.

“Konsert ini juga nanti akan mengetengahkan segmen mentor khusus buat Datuk M. Nasir.

“Menerusinya, saya akan bawakan beberapa lagu popular dan hasil ciptaannya nanti,” tuturnya.

Tiket-tiket menyaksikan konsert anjuran MEM yang disokong West Ipoh Span Expressway (WISE) tersebut boleh dibeli secara dalam talian dengan harga RM188 (upper tier), RM388 (silver), RM488 (gold), RM788 (diamond) dan RM988 (platinum).

MENURUT Hattan, persembahan konsert solonya akan diiringi barisan pemuzik pengiring termasuk pemain keyboard, Rozario (kiri) yang turut bertindak sebagai pengarah muzik.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI