PETALING JAYA – Keghairahan orang ramai untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitiri bulan depan menyaksikan kira-kira 240,000 tiket bas berjaya dijual hanya dalam tempoh beberapa hari.
Jumlah itu adalah hampir 80 peratus daripada keseluruhan 300,000 tiket bas yang disediakan Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) untuk perjalanan ke seluruh destinasi di Semenanjung pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Yang Dipertua Pembawa, Laili Ismail berkata, bagi tujuan itu, pihaknya telah menyediakan sebanyak 700 buah bas melibatkan 20 syarikat pengangkutan yang bernaung di bawah persatuan itu.
“Jumlah bas ini tidak termasuk bas tambahan yang akan digunakan sekiranya permintaan terhadap tiket ini meningkat terutama pada waktu puncak (seminggu sebelum hari raya dan seminggu selepas perayaan).
“Antara destinasi yang mendapat permintaan tinggi ketika ini adalah laluan ke Kota Bharu, Kelantan dan Johor Bahru, Johor. Untuk kedua-dua laluan ini sahaja, sebanyak 150,000 keping tiket telah terjual,” katanya kepada Kosmo! kelmarin.
Laili menambah, seperti tahun-tahun sebelum pandemik Covid-19, kedua-dua laluan ini adalah destinasi paling laris setiap kali tibanya musim perayaan.
“Buat masa ini, tiket bas masih ada untuk kedua-dua laluan ini, sekiranya bas sedia ada tidak mencukupi, barulah kita sediakan bas tambahan,” jelasnya.
Ujar Laili, selain dua lokasi itu, pihaknya turut menyediakan tiket bagi destinasi ke negeri-negeri di utara dan juga beberapa lokasi di Pantai Timur.
“Antaranya, kita turut menyediakan perkhidmatan bagi laluan ke Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan juga Pahang.
“Justeru, saya nasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung supaya membeli atau menempah awal tiket dengan ejen yang sah selagi masih ada dan elakkan membeli dengan ‘ulat tiket’,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Ekspres Mutiara, Mohammad Anuar berkata, penjualan tiket bas bagi perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri kini laris ibarat pisang goreng panas.
Katanya, situasi itu berlaku memandangkan keterujaan golongan perantau untuk beraya di kampung selepas dua tahun mereka ‘terkurung’ akibat pandemik.
Jelasnya, dianggarkan sebanyak 5,000 tiket berjaya dijual di seluruh negeri sama ada menerusi kaunter atau secara online bermula 27 April lalu.
“Tiket yang paling banyak terjual adalah destinasi dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Sementara itu, Pengarah Operasi Pancaran Matahari, Mohamad Uzir Salleh berkata, penjualan tiket bas ekspres syarikat itu sudah habis dijual sebanyak 90 peratus hanya dalam tempoh tiga hari.
Katanya, harga tiket bermula serendah RM45 iaitu bagi laluan Alor Setar ke Kota Bharu, RM75 (Alor Setar ke Kuantan) dan harga paling tinggi adalah perjalanan dari Alor Setar ke Johor Bharu iaitu RM95.
“Saya menjangkakan pembelian tiket bas akan bertambah pada minggu akhir bulan ini, namun tiket Pancaran Matahari sudah hampir habis dijual,” ujarnya.
Mohamad Uzir memberitahu, bagi meyakinkan para penumpang, bas milik syarikatnya akan sentiasa disanitasi setiap kali selesai perjalanan pergi dan balik untuk mengawal penularan wabak Covid-19.