fbpx

ADUN di Kelantan rugi RM84,529 diperdaya Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KOTA BHARU – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini mengalami kerugian sebanyak RM84,529 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis, kelmarin.

Kejadian disedari oleh mangsa yang berusia 57 tahun selepas mendapati baki dalam dua akaun banknya berkurangan sebanyak jumlah tersebut pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Asisten Komisioner Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dihubungi seorang lelaki yang menyamar sebagai Pegawai Operasi Cukai LHDN Melaka sebelum memaklumkan ADUN itu mempunyai satu kes tunggakan bayaran cukai sebanyak RM52,900.78.

Menurutnya, pegawai operasi itu mendakwa cukai hasil itu disebabkan daripada kemasukan wang tunai sebanyak RM200,000 kepada akaun syarikat yang dikatakan miliknya namun, pengadu menafikan dakwaan tersebut.

“Mangsa bagaimanapun telah memasukkan wang sebanyak RM 200,000 ke dalam akaun syarikat tersebut. Suspek memaklumkan sekiranya perkara itu tidak benar, mangsa boleh melaporkan kes kepada polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Suspek kemudian terus menyambung panggilan kepada anggota kaunter aduan IPK Melaka dan diminta untuk mengesahkan bahawa segala permindahan wang tersebut adalah tidak benar.

“Bagi tindakam lanjut, talian telah disambung kepada seorang wanita yang mendakwa dirinya dari Unit Jabatan Siasatan Jenayah Kormesial, Penggubahan Wang Haram, IPK Melaka. Dalam perbualan itu, suspek telah meminta mangsa mengesahkan akaun-akaun miliknya dengan mengisi pautan Bank Negara melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, keesokan harinya, mangsa pergi ke sebuah bank di sini untuk menyemak baki akaun dan membuat kad baharu mendapati baki akaunnya berkurangan sebanyak RM 71,480.

Ujarnya, mangsa terus pergi ke sebuah lagi bank sebelum mendapati baki akaun banknya itu juga berkurangan sebanyak RM13,049 melalui dua transaksi pengeluaran dengan jumlah keseluruhan RM84,529.

Tambahnya, mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini kira-kira pukul 1.05 petang tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI