JOHOR BAHRU – Dua lelaki maut selepas kereta jenis Toyota Vios dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori tiga tan di Lebuh Raya Penyuraian Trafik Timur (EDL) berhampiran kawasan rehat dan rawat Pandan, di sini semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Khairul Azhar Abd. Aziz memberitahu, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu pada pukul 9.13 malam.
Menurutnya, lima pegawai dan anggota beserta sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi didapati pemandu dan penumpang kenderaan jenis Toyota Vios berada dalam keadaan tersepit akibat rempuhan.
“Kedua-dua mangsa dapat dikeluarkan mengguna peralatan khas sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai kesihatan yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai K. Pratep Raj, 23, dan R. Sharan Raj, 26, manakala lelaki yang memandu lori berusia 50-an dilaporkan selamat.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 10.11 malam,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE