fbpx

UDA kongsi rezeki, syukuri Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norliza (dua dari kanan) diiringi Azrudyn (dua dari kiri) dan Shah Azam (kiri) menyampaikan cek sumbangan wang tunai kepada Shamsiah (kanan) mewakili MPWK pada Program Syukuri Ramadan di Hotel Ancasa Royale Pekan, malam kelmarin.

PEKAN – Bagi berkongsi rezeki dengan golongan kurang berkemampuan, UDA Holdings Berhad (UDA) meneruskan program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan menyalurkan sumbangan dan meraikan anak-anak yatim serta asnaf di daerah ini dalam majlis berbuka puasa.

Program Syukuri Ramadan itu melibatkan 40 anak yatim dan asnaf daripada empat pertubuhan iaitu Rumah Anak Yatim dan Miskin Darussalam Al Mukhtar, Rumah Kebajikan Anak Yatim Kampung Ketapah Tengah, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Rusa dan JPKK Kampung Pulau Ganchong.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, menerusi program itu pihaknya menghulur sumbangan zakat berjumlah RM26,000, meliputi RM12,000 untuk 40 anak yatim dan asnaf serta RM14,000 kepada Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) untuk diagihkan kepada asnaf yang layak.

“Kami membawa anak-anak yatim ini membeli-belah pakaian raya pada sebelah petang dan pada malamnya, mereka diraikan dengan pemberian duit raya serta berbuka puasa anjuran Hotel Ancasa Royale Pekan.

“Ini merupakan CSR di bawah UDA Cares yang mana kami mahu berkongsi rezeki nikmat Ramadan bersama dengan golongan kurang berkemampuan supaya mereka turut merasai keseronokan di bulan yang mulia ini.

“Pada masa sama, kami ingin membantu mereka menyambut Hari Raya dengan lebih meriah memandangkan kita telah beralih ke fasa endemik,” katanya pada program Syukuri Ramadan di Hotel Ancasa Royale Pekan, di sini malam kelmarin.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Ibam, Datin Shamsiah Arshad; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Pengurusan Aset UDA, Azrudyn Rashid; Naib Presiden Kanan Ancasa Hotels & Resorts, Shah Azam Khan dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan UDA, Radziah Mohamed Fadzil.

Program Syukuri Ramadan UDA disertai 40 anak-anak yatim dan asnaf.

Menurut Norliza, selain membantu golongan memerlukan, objektif program itu adalah mengeratkan hubungan UDA dengan komuniti di wilayah perniagaannya.

Jelasnya, program CSR seumpama ini yang dilaksanakan sejak dahulu akan terus dipergiat di seluruh negara dari masa ke masa bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Justeru, beliau berharap sumbangan raya UDA ini dapat memberikan keceriaan kepada para penerima dalam menyambut Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang tiba.

“Inisiatif CSR UDA Cares ini selari dengan konsep penjenamaan baharu UDA iaitu LIFE – Life, Integrated, Finesse dan Enrich yang diperkenalkan sempena ulang tahun ke-50 UDA tahun lalu sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokong kami selama ini.

“Saya percaya dengan adanya penjenamaan baharu ini, UDA akan terus utuh menggalas peranan mewujudkan komuniti inklusif di wilayah pembangunan serta perniagaan UDA dan bersama-sama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melahirkan lebih ramai keluarga usahawan yang mampu menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI