PEKAN – Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak yatim dan asnaf yang diraikan pada program Syukuri Ramadan anjuran UDA Holdings Berhad (UDA) di Hotel Ancasa Royale Pekan, di sini malam kelmarin.
Peluang berbuka puasa di hotel dan menerima duit raya serta baju raya pada Ramadan kali ini jelas amat bermakna buat mereka.
Seorang penerima, Nor Emiliya Shazwana Harun, 16, berkata, dia gembira dapat berbuka puasa dan menikmati pelbagai juadah di hotel.
“Ini kali kedua saya dapat berbuka puasa di hotel selepas dua tahun lalu dan saya memang amat menantikan detik ini bersama rakan-rakan.
“Saya berterima kasih kepada pihak yang membawa kami ke sini untuk berbuka puasa dan kalau harapnya rezeki kami terus murah pada masa akan datang,” katanya dari Rumah Anak Yatim dan Miskin Perempuan Darusalam al Mukhtar di sini.
Nor Emiliya Shazwana yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan berkata, dia dan rakan-rakan berasa dihargai apabila diraikan dalam majlis berkenaan.
Katanya, selain dapat bertemu ramai rakan-rakan, program sebegini memberikan mereka lebih semangat untuk tekun belajar bagi mengubah kehidupan keluarga.
Seorang lagi penghuni rumah anak yatim, Damia Syahini Muhammad, 12, berkata, harapannya untuk memiliki baju raya baharu tahun ini tercapai apabila menerima sumbangan baju raya daripada pihak UDA.
“Saya bersyukur dapat baju raya selepas lama tidak mendapat baju baharu dan saya tidak sabar untuk pulang ke rumah ayah untuk beraya bersama nanti.
“Dapat menikmati makanan yang sedap di hotel menjadi pengalaman yang tidak dapat saya lupakan,” katanya dari Rumah Kebajikan Anak Yatim Abu Yazid Bustami Ketapang Tengah, di sini.
Dalam pada itu, Penyelia Pentadbiran Rumah Anak Yatim dan Miskin Perempuan Darussalam al-Mukhtar, Nik Farah Amalina Nik Ibrahim berkata, seramai 15 orang anak yatim berumur enam hingga 16 tahun jagaannya diraikan pada majlis tersebut.
Tambahnya, setelah lebih dua tahun tidak dijemput menghadiri program sedemikian, acara kali ini amat menceriakan kanak-kanak berkenaan.
“Mereka memang tidak sabar menanti hari ini untuk membeli baju raya dan berbuka puasa di hotel, saya mengucapkan terima kasih kepada UDA mewakili anak-anak ini.
“Kami mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu berkongsi rezeki bersama anak-anak yatim dan asnaf di rumah kami,” katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Ibam, Datin Shamsiah Arshad yang mewakili Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Pahang berkata, sumbangan sebanyak RM14,000 daripada UDA akan diagihkan kepada MPWK setiap daerah di negeri ini.
Ujarnya, pihak MPWK akan mencari individu yang benar-benar memerlukan bagi menyalurkan bantuan berkenaan dalam masa terdekat.