MELIHAT kepada senarai pemain yang ada pada kedua-dua pasukan, pengendali Sarawak United, B. Sathianathan lebih gemar untuk bersikap rendah diri menjelang Derbi Borneo bertemu Sabah di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching malam ini.
Walaupun kekal dengan kemahuan untuk cipta kejutan, Sathianathan menegaskan, beliau perlu bersikap realistik jika bersandarkan kepada ramalan di atas kertas.
“Sabah ada pemain berkualiti dan memiliki pengalaman di peringkat kebangsaan, malah mereka sedang mengharungi prestasi terbaik dalam dua perlawanan lalu. Dengan kualiti yang mereka ada, saya memang nampak Sabah ada kualiti tersendiri pada Liga Super.
“Kami pula baru saja tampil di Liga Super dan sebahagian besar pemain kami hanya ada pengalaman pada Liga Premier. Tetapi saya tetap rasakan yang kami mampu cipta kejutan termasuk juga Sabah,” katanya.
Agak sukar untuk menilai kemampuan Sarawak United tampil mencabar, sekurang-kurangnya berada di kelompok pertengahan kerana ketiga-tiga aksi awal yang diharungi adalah menentang juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA FC).
Namun, keputusan seri dengan Penang, Selasa lalu nyata melegakan Sathianathan dan satu mata itu sebagai detik kebangkitan untuk cuba cipta kejutan ke atas pasukan lain.
“Daripada tiga perlawanan lalu, saya berpuas hati dengan komitmen pemain kerana mereka telah beri sedaya upaya serta corak permainan menghiburkan.
“Apa yang kena kami perbaiki adalah melunaskan peluang yang terhidang,” katanya.