PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan keadaan cuaca buruk melibatkan negeri Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada petang ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan di laman Facebooknya berkata, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan untuk terus berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Menurut MetMalaysia, hujan lebat, ribut petir dan angin kencang dijangka melanda Bentong, Pahang serta Sepang, Selangor yang bakal berlarutan sehingga pukul 6 petang nanti.
Sementara itu, keadaan yang sama dilihat tertumpu di keseluruhan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Melaka.
“Di Negeri Sembilan, antara daerah yang mengalami hujan lebat berserta ribut petir petang ini adalah Jelebu, Kuala Pilah dan Tampin.
“Bagi Johor pula, ia melibatkan kawasan Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir bagi enam negeri tersebut. – KOSMO! ONLINE