fbpx

Prem Kumar sasar emas kumite 60kg Sukan SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PREM KUMAR yang beralih ke acara kumite 60kg berbanding 55kg sebelum ini bersedia menghadiahkan kilauan emas buat Malaysia pada Sukan SEA edisi ke-31 nanti.

BERDASARKAN persiapan serta latihan yang dilakukan setakat ini, atlet karate kebangsaan, S. Prem Kumar percaya dia mampu menampilkan aksi terbaik pada temasya Sukan SEA Vietnam di Hanoi Mei depan.

Dia yang akan beraksi dalam acara kumite kategori 60 kilogram (kg) meletakkan sasaran untuk menghadiahkan kilauan pingat emas kepada kontinjen negara pada Sukan SEA edisi ke-31 itu.

Walaupun sedar bakal berdepan cabaran daripada negara lain termasuk Thailand, Vietnam dan Kemboja, namun Prem Kumar yakin dia mampu mencapai sasaran ditetapkan sekiranya dapat menampilkan aksi terbaik.

“Pada edisi kali ini, saya beralih ke acara kumite 60kg berbanding 55kg sebelum ini. Saya belum tahu sepenuhnya mengenai cabaran dalam acara tersebut tetapi harapan adalah untuk dapatkan pingat emas.

“Kategori 60kg memang sukar kerana banyak negara boleh berikan cabaran termasuk tuan rumah Vietnam, Thailand serta Kemboja. Bagaimanapun, saya harap boleh berikan aksi terbaik di sana nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Dalam pada itu, Prem Kumar juga baru sahaja pulang daripada Kemboja selepas menyertai kejohanan ujian yang boleh dijadikan aksi pemanas badan sebelum Sukan SEA Viet­nam membuka tirainya nanti.

Katanya, kejohanan tersebut dijadikan sebagai medan untuk menguji kemampuan diri selain peluang memperbaiki mana-mana kelemahan yang ada bagi memastikan dia boleh menyajikan aksi terbaik bulan depan.

“Baru-baru ini kami ada menyertai satu kejohanan ujian yang merupakan pra-Sukan SEA kerana Kemboja akan jadi tuan rumah Sukan SEA 2023 nanti. Ia boleh dijadikan sebagai pentas untuk saya menilai prestasi diri,” ujarnya.

Sebagai rekod, Prem Kumar menghadiahkan pingat emas buat negara pada Sukan SEA 2019 di Filipina menerusi acara kumite 55kg, namun kali ini dia akan menggalas cabaran Malaysia dalam kategori 60kg.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI