fbpx

‘Biar miskin, baik Onyang jaga sampai mati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAKIL JKM (kiri) bertanyakan sesuatu kepada Awa yang menjaga lima cicit termasuk Rahman (depan) ketika ditemui di Kampung Ku Sayang, Bukit Baru semalam.

MELAKA – Seorang moyang lebih rela membela lima cicitnya walaupun berdepan dengan kemiskinan dan masalah kesihatan daripada memisahkan mereka untuk di­serahkan kepada orang lain.

Awa Minhat, 79, berkata, lima beradik itu dibela sejak lahir sehingga yang sulung berusia 18 tahun selepas ibu bapa mereka bercerai dengan si lelaki kini menjalani hukuman di penjara atas kesalahan jenayah.

Katanya, ibu cicitnya pula masih tinggal di negeri ini dan sesekali datang membantu terutama melibatkan hal pendaftaran sekolah atau kes kecemasan yang perlu dibawa ke klinik atau hospital.

“Cicit bongsu, Rahman yang kini berusia tujuh tahun ada masalah kesihatan membabitkan usus. Mereka dibesarkan dengan menggunakan wang pencen saya sebagai pesara atendan hospital RM1,000 sebulan dan RM200 yang diberikan ibu mereka.

“Mereka panggil saya emak. Setakat ini makan minum cukup dan cicit saya tidak pandai meminta. Apa yang ada mereka makan dan baju sekolah sepasang seorang hasil sumbangan Majlis Agama Islam Melaka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ku Sayang, Bukit Baru di sini semalam.

Terdahulu, Awa menerima kunjungan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Burhanuddin Bachik dan memaklumkan pihaknya akan memberi bantuan kanak-kanak berjumlah RM600 sebulan.

Pada kunjungan semalam, Rahman turut menyentak hati semua tetapi apabila bergegas mengangkat telefon dengan katanya: “Ayah, ayah ke? Ini Rahman. Rahman rindu,” sedangkan yang berada di talian ialah wartawan yang ingin mengesahkan lokasi rumah.

Menurut Awa, sebelum ini ada orang mahu ambil cicit-ci­citnya sebagai anak angkat tetapi dia tidak sanggup memisahkan mereka walaupun dia miskin dan lebih rela menjaga mereka hingga ke akhir hayat.

“Onyang berdoa setiap hari, semoga Allah kuatkan lutut ini, sembuhkan kencing manis dan beri kesihatan. Onyang tak nak beri cicit kepada orang kerana kalau dapat yang baik tak apa, lebih baik duduk sini sahajalah,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Awa di talian 06-292 5877. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI