KEMAMAN – Sepasang suami isteri terkedu apabila persiapan raya yang baru dibeli musnah dalam kebakaran melibatkan rumah sewa mereka di Kampung Bakau Tinggi, Chukai di sini hari ini.
Rumah sewa diduduki Nur Diana Atikah Rozde, 22, dan suami, Mohamad Syafiq Izwan Abdullah, 22, itu hangus sepenuhnya dalam kebakaran pada pukul 1 tengah hari tersebut.
Nur Diana Atikah yang sedang hamil empat bulan berkata, dia dan suami hanya mengetahui tentang kebakaran tersebut apabila dihubungi salah seorang jirannya dari tempat kerja.
“Pada mulanya saya ingatkan cuma kebakaran kecil namun terkejut rupa-rupanya rumah sewa kami telah 100 peratus terbakar.
“Terkilan sebab semua baju raya dan sedikit kelengkapan bayi sulung kami yang baru beli di Kuantan, Pahang semalam musnah dalam kebakaran berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Nur Diana Atikah berkata, dia dan suami yang melangsungkan perkahwinan lima bulan lalu baru berpindah ke rumah sewa itu pada bulan Februari.- KOSMO! ONLINE