LIVERPOOL – Pertembungan dua heavyweight antara Manchester City dan Liverpool di Stadium Etihad malam ini bakal menentukan calon awal pemenang Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp pastinya sudah tidak sabar menantikan aksi getir itu kerana pasukannya pernah ketinggalan jauh 14 mata di belakang City pada Januari lalu, tetapi kini hanya dipisahkan satu mata antara mereka.
Kemenangan juga dilihat mampu mencerahkan peluang The Reds yang sedang memburu gelaran quadruple untuk memenangi empat piala iaitu EPL, Piala FA dan Liga Juara-Juara selepas terdahulu berjaya menjulang Piala Liga England musim ini.
Begitupun, Klopp, 54, sedar ia bukan satu tugas yang mudah kerana Liverpool gagal mencatat kemenangan di Etihad sejak kali terakhir menewaskan City 2-1 sewaktu suku akhir kedua Liga Juara-Juara pada 2018.
“Sejarah pertemuan kami menentang City amat menarik dengan kedua-dua pasukan saling mencipta peluang dan melakukan serangan. Saya menjangkakan perkara sama dalam pertemuan pada kali ini.
“Saya sendiri tidak sabar menghadapi perlawanan yang amat penting ini. Ia adalah salah satu cabaran terbesar pernah saya hadapi dalam dunia bola sepak.
“Ia bukan mudah apabila bertemu City iaitu pasukan terbaik di dunia ketika ini disebabkan kualiti dimiliki mereka. Namun, kami akan cuba dengan apa cara sekali pun untuk meraih kemenangan,” katanya.
The Reds bakal mempertaruhkan ketajaman trio serangan sensasi mereka diketuai Mohamed Salah, Sadio Mane dan Diogo Jota, selain prestasi meningkat naik ditunjukkan Luis Diaz untuk merobek gawang City.
Dalam masa sama, kekebalan benteng pertahanan dikawal penjaga gol, Alisson dan bek tengah kental, Virgil van Dijk diharapkan mampu mematahkan setiap serangan The Citizens.
Jika Liverpool berjaya menjuarai saingan EPL musim ini, mereka bakal mengukir sejarah baharu dengan memadam rekod lama dicipta Arsenal sewaktu musim 1997/1998 selepas ketinggalan 13 mata dengan Manchester United. – AGENSI