SRINAGAR, India – Lebih 3.04 juta pelancong dilaporkan mengunjungi Lembah Kashmir di India pada Januari, Februari dan Mac 2022 selepas sekatan perjalanan akibat pandemik ditamatkan, lapor laman berita Wionews.
Kehadiran pelancong paling ramai direkodkan pada bulan lepas iaitu seramai 180,000 orang selepas dua tahun sektor pelancongan di India tidak beroperasi.
Kepesatan kedatangan pelancong ke lembah Kashmir telah mendorong kerajaan menambah bilangan penerbangan yang beroperasi di Lapangan Terbang Srinagar.
Kira-kira 92 penerbangan beroperasi setiap hari dari Lapangan Terbang Srinagar dengan kapasiti penumpang sekitar 15,000 orang.
Taman Tulip yang merupakan lokasi pelancongan popular di Kashmir dibuka semula pada minggu terakhir bulan Mac dan pada 2 April lalu. Taman itu menerima kehadiran lebih 50,000 pelancong.
“Dalam tempoh tiga bulan terakhir ini, bilangan pelancong yang datang ke Kashmir telah melepasi angka tiga juta.
“Kami menjangkakan angka tersebut terus meningkat sepanjang tahun ini,” kata Timbalan Pengarah Pelancongan, Ahsan Ul Haq.
Ejen-ejen pelancongan di lembah itu mengatakan bahawa semua hotel dan kediaman bertaraf lima serta empat bintang telah habis ditempah untuk tempoh dua bulan akan datang.
Malah hotel kelas pertengahan juga habis ditempah sehingga Jun ini.
”Ia sangat bagus dan berbeza. Orang ramai akan menakutkan anda jika bercakap mengenai Kashmir tetapi keadaan di sini sangat selamat dengan kehadiran tentera India.
“Saya dapat melihat ramai pelancong datang ke sini menikmati percutian mereka,” kata seorang ejen pelancongan tempatan. – Agensi