SHAH ALAM – Tindakan seorang imam surau merempit bersama rakannya di Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini, memakan diri apabila ditahan polis awal pagi tadi.
Difahamkan, lelaki berusia 20 tahun yang juga bekas pelajar tahfiz sebelum itu mengimamkan solat terawih di sebuah surau sekitar Klang.
Perbuatan imam muda yang melakukan aksi berbahaya dengan berjubah itu dikesan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, kira-kira pukul 2 pagi.
Timbalan Pengarahnya, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, lelaki itu antara lapan individu yang ditahan pihaknya menerusi Ops Samseng Jalanan berkenaan.
Katanya, pemantauan mendapati pemuda itu dan seorang rakannya berusia 22 tahun melakukan aksi ‘Superman’ dan bersaing sesama sendiri yang membahayakan nyawa terutama pengguna jalan raya lain.
“Kedua-dua penunggang itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi membantu siasatan.
“Selain itu, polis menyita dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Beliau menambah, enam lagi yang turut ditahan adalah termasuk remaja berusia 14 hingga 22 yang dikesan melakukan lagak samseng jalanan di Lebuh Raya Persekutuan dan Lebuh Raya Shah Alam (KESAS).
Kata Mohd. Nadzri, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis akan melaksanakan operasi seumpama itu secara berterusan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan yang mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya” ujarnya. -KOSMO!ONLINE