MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berang selepas namanya dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih Brazil menjelang pertembungan getir menentang Liverpool di Stadium Etihad malam ini.
Ia selepas akhbar Sepanyol, Marca melaporkan, juara dunia lima kali itu berminat mendapatkan khidmat Guardiola, 51, bagi menggantikan tempat Tite yang akan melepaskan jawatannya selepas tamat Piala Dunia Qatar 2022 hujung tahun ini.
Difahamkan, Konfederasi Bola Sepak Brazil bersedia menawarkan bayaran gaji sebanyak £10 juta (RM55.01 juta) setahun kepada pengendali dari Sepanyol itu.
Tanpa membuang masa, Guardiola segera menepis dakwaan karut itu dan memberi amaran supaya tidak mengganggu fokusnya untuk menewaskan Liverpool dalam usaha mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
“Saya membuang 50 saat masa saya bercakap mengenai perkara yang tidak masuk akal ini (spekulasi jawatan bersama Brazil). Saya tidak tahu dari mana datangnya khabar angin ini.
“Saya masih mempunyai kontrak dengan City. Kalau boleh, saya mahu lanjutkan kontrak saya 10 tahun lagi bersama pasukan ini kerana saya sanggup berada di sini selama-lamanya,” katanya.
Kemenangan amat penting buat City untuk melebarkan penguasaan mereka sebagai pendahulu EPL yang ketika ini hanya berkelebihan satu mata ke atas Liverpool di tangga kedua.
Seandainya City berjaya menang, Guardiola menganggap ia belum lagi menjamin peluang The Citizens untuk ditabalkan sebagai juara memandangkan saingan masih lagi berbaki tujuh perlawanan musim ini.
“Sudah tentu ini adalah tiga mata yang amat berharga. Namun, masih ada tujuh perlawanan dan 21 mata boleh dikutip, selain beberapa kejohanan lain lagi yang akan kami hadapi.
“Apabila tiba di peringkat yang berpeluang untuk memenangi gelaran, kami akan cuba melakukannya. Apabila saya bersara, saya akan ingat saingan terhebat adalah Liverpool,” jelasnya. – AGENSI