SEOUL – Garam buluh Korea merupakan produk mewah yang harganya mencecah lebih AS$100 (RM422.15) untuk satu balang dengan berat cuma 240 gram, lapor laman Oddity Central kelmarin.
Harga mahal itu berikutan proses pembuatannya yang sukar termasuk memanggang sebanyak sembilan kali di dalam silinder buluh.
Garam buluh Korea atau Amethyst Bamboo dihasilkan dengan mengisi garam laut ke dalam silinder yang kemudian ditutup menggunakan tanah liat. Buluh itu diletakkan ke dalam tanur dan dibakar di atas kayu pain pada suhu takat lebur garam iaitu 800 darjah Celsius.
Harganya lebih mahal daripada garam Himalaya merah jambu, garam soya dan garam Kilauea Inyx hitam pekat. Proses pembuatan garam buluh Korea adalah menggunakan tangan dan mengambil masa sebulan untuk disiapkan.
Garam buluh telah menjadi sebahagian daripada budaya rakyat Korea selama beratus-ratus tahun tetapi garam Amethyst Bamboo mula dihasilkan pada abad ke-20.
Ia adalah salah satu garam paling tulen di dunia kerana proses memanggang sebanyak sembilan kali membantu meresapkan lebih banyak pati buluh ke dalamnya serta menapis lebih banyak kotoran.
Apabila buluh menjadi panas, minyak daripada buluh akan keluar dan diserap ke dalam garam yang akan memberikan aroma kompleks serta didakwa mampu meningkatkan kesihatan.
Selepas 14 hingga 15 jam, silinder buluh akan menjadi abu dan meninggalkan ketulan garam. Ia kemudian dikisar dan dimasukkan semula ke dalam buluh silinder baharu. Proses itu diulang sebanyak lapan kali.
Pemanggangan kali kesembilan berbeza kerana garam dibakar pada suhu sekitar 1,000 darjah Celsius dan menyebabkan ia cair sepenuhnya. Ia dimasukkan ke dalam acuan dan mengeras sebelum dihancurkan menggunakan tangan serta dibungkus untuk dijual. – Agensi