PETALING JAYA – Trend mahu putihkan kulit dalam tempoh yang singkat masih menjadi kegilaan segelintir para wanita di Malaysia.
Walaupun banyak perkongsian dibuat oleh pakar kesihatan tentang risiko bahaya putihkan kulit terutamanya melalui kaedah ‘drip whitening’, namun masih ramai yang tidak mempedulikannya.
Perkongsian seorang wanita bernama Ladyvin di TikTok tampil menceritakan pengalamannya sewaktu terlalu taksub untuk mendapatkan kulit yang putih dan cantik sehingga memberi kesan kepada kesihatannya.
Jelasnya, dia mengakui dahulunya sering berkunjung ke sebuah klinik swasta bagi mendapatkan suntikan kecantikan tersebut selepas disyorkan oleh rakannya sendiri.
Tidak disangka, tindakannya itu akhirnya memakan dirinya sendiri apabila telah disahkan menghidap masalah barah sehingga menyebabkan rambutnya semakin gugur dan terpaksa dibotakkan.
Kini, dia hanya bergantung sepenuhnya dengan bantuan ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor dan perlu menjalani rawatan susulan.
Sehubungan itu, ada juga pengguna yang berkongsi nasib sama selepas terjebak dengan pengambilan bahan terlarang ke dalam badan demi memuaskan keinginan untuk nampak lebih cantik.
“Kawan saya dan adiknya, doktor sahkan mereka mengalami masalah buah pinggang tahap empat sebab buat suntikan kecantikan macam ini,” kongsi seorang pengguna.
“Kawan saya dah meninggal, kedua-dua buah pinggangnya gagal berfungsi, makan produk putih, produk kurus, hormon, umur tak sampai 30 tahun lagi, kesian tengok,” luah pengguna lain. – KOSMO! ONLINE