BALING – Empat beranak nyaris dihempap zink selepas rumah mereka di Kampung Gua Reban di Kupang di sini dibadai ribut pada petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku ketika Amelia Ali, 32, sedang menidurkan bayinya yang baru berusia lima bulan di dalam sebuah bilik.
Dua lagi anaknya berusia lapan dan 14 tahun pula sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah.
Menurut Amelia, dia terkejut apabila hujan turun dengan lebat bersama angin kencang.
“Saya berasa takut apabila mendengar bunyi angin yang kuat menyebabkan saya terus mendukung bayi dan mendapatkan dua lagi anak.
“Namun, belum sempat kami keluar dari rumah, atap zink di bahagian bilik dan ruang tamu rumah terangkat dan berlipat dengan sebahagiannya terjatuh sehingga hampir menghempap saya dan anak-anak,” katanya ketika ditemui di Kampung Gua Reban di sini hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Najmi Ahmad berkata, kejadian ribut tersebut mengakibatkan sebanyak 28 buah rumah di kawasan Kupang mengalami kerosakan teruk pada bumbung. – KOSMO! ONLINE