SHAH ALAM – Tinggal 3,000 naskah buku Bangkit Bisnes Dari Krisis: Solusi Bisnes & Pemasaran Digital untuk diberikan secara percuma kepada orang ramai.
Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks), Radz Mohd. berkata, buku tersebut dihadiahkan Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman bagi menyokong perkembangan usahawan yang berdepan pelbagai cabaran dan krisis dalam tempoh ini.
“Alhamdulillah ribuan penerima bukan sahaja dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak malah warga negara jiran, Singapura, Brunei dan Indonesia telah mendapat naskah masing-masing.
“Mereka hanya perlu menanggung kos penghantaran untuk mendapatkan hadiah daripada mentor yang sudah melahirkan ramai usahawan jutawan di negara ini,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.
Buku tersebut dilancarkan ketika Titanium Gala Awards baru-baru ini yang mengiktiraf usahawan jutawan bimbingan RichWorks yang berjaya mencatatkan jualan luar biasa tahun lalu meskipun ketika pandemik.
Tambah Radz, orang ramai khususnya usahawan masih boleh dapatkan hadiah itu sementara stok masih ada.
“Bagi mereka mahu ketahui solusi bisnes dan pemasaran digital yang penting malah berkesan, boleh dapatkan buku ini dengan melayari richworks.com/bukubangkit/kosmo sekarang,” ujarnya.