PETALING JAYA – Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan 5/66 Bukit Gasing, dekat sini semalam.
Bayi berkenaan yang merupakan anak kedua disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menurut sumber, pegawai perubatan (pengadu) memaklumkan telah menerima pesakit (bayi tersebut) di Bahagian Kecemasan Peads (Kanak-Kanak) di PPUM lebih kurang pukul 4.20 petang.
“Difahamkan bayi berumur tiga bulan yang merupakan warganegara Indonesia itu telah dibawa oleh bapanya untuk mendapatkan rawatan selepas dia tidak sedarkan diri.
“Semasa pemeriksaan dijalankan pegawai perubatan mendapati bayi tersebut tidak bernafas dan telah melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” ujarnya hari ini.
Menurutnya, hasil soal siasat ke atas bapa bayi berusia 24 tahun yang merupakan warganegara Indonesia itu mendakwa memberi minum susu pada mangsa pada pukul 2 petang ketika bayi itu dalam jagaannya.
“Lelaki yang bekerja sebagai pembantu rumah itu kemudiannya meneruskan tugasnya dan sebaik kembali semula kira-kira dua jam kemudian iaitu pada pukul 4 petang didapati mangsa tidak bernafas dan terdapat lebam pada mata sebelah kiri.
“Difahamkan semasa kejadian, ibu mangsa yang berusia 29 tahun yang juga warganegara Indonesia kebetulan tiada di rumah dipercayai keluar bekerja sebagai pembantu rumah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian terbabit.
Jelas beliau, bapa mangsa yang merupakan warganegara asing sudah ditahan hari ini dan direman selama empat hari sehingga 13 April ini bagi membantu siasatan.
“Proses bedah siasat akan dijalankan esok bagi mengetahui punca kematian sebenar mangsa,” ujarnya.
Katanya, kes diklasifikasi dibawah Seksyen 31 (A) Akta Kanak Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE