fbpx

Asmidar kembali sibuk, ‘bersilat’ niaga martabak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANPA sekatan PKP dan SOP ketat, Asmidar bersyukur perniagaan keluarganya kembali rancak tahun ini.

KEHADIRAN bulan Ramadan yang mulia tahun ini kembali mengisi kesibukan penyanyi Asmidar membantu keluarganya berniaga martabak di bazar Ramadan yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Berbeza dengan tahun lalu, Asmidar berkata, tahun ini suasana dan sambutan pelanggan di bazar Ramadan lebih meriah kerana tidak lagi disekat oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta prosedur operasi standard (SOP) yang terlalu ketat berbanding sebelumnya.

Asmidar atau nama lengkapnya Norhasmidar Ahmad, 36, bersyukur apabila kerajaan memberi kelonggaran kepada peniaga bazar Ramadan untuk mencari rezeki seperti zaman sebelum pandemik Covid-19 melanda di seluruh dunia.

“Alhamdulillah, tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu disebabkan SOP ketat dan pelanggan pun ramai yang takut-takut untuk ke bazar Ramadan. Saya masih ingat lagi ada bazar Ramadan turut dilanda ribut sehingga menjejaskan peniaga.

“Tetapi tahun ini, pelanggan memang ramai seperti tahun-tahun sebelumnya. Sambutan sangat baik dan pengunjung yang datang masih lagi menjaga SOP dengan memakai pelitup muka,” ujarnya.

Asmidar yang membantu keluarganya menjalankan perniagaan martabak juga sekali-sekala akan turun ke bazar Ramadan Wangsa Maju jika mempunyai waktu lapang dan tidak sibuk dengan jadual harian.

Dalam sehari, Asmidar berkata, keluarganya mampu menjual martabak ayam dan daging antara 20 kilogram (kg) hingga 30kg bergantung pada cuaca hari tersebut.

“Jika tidak mempunyai sebarang tuntutan tugas sama ada mengajar atau membuat persembahan, saya selalu turun membantu keluarga di bazar.

“Selain itu, saya juga buat penghantaran martabak kepada pelanggan yang membuat tempahan. Memang itulah kerja sampingan saya sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya yang merupakan tenaga pengajar subjek teater tradisional mek mulung di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Bercakap tentang isu semasa berkaitan keluhan pembeli tentang harga makanan di bazar Ramadan yang dikatakan mahal berbanding sebelumnya, Asmidar tidak menafikan tentang perkara tersebut.

Ujar bekas naib juara Bintang RTM 2001 itu, sebagai peniaga di bazar Ramadan, dia sedar tentang rungutan dalam kalangan pengguna yang mengeluh tentang harga makanan yang didakwa mahal.

Bagaimanapun, peniaga juga sebenarnya ‘tersepit’ apabila harga bahan mentah yang dijual di pasaran turut mengalami kenaikan harga.

“Kami (peniaga) tersepit di tengah-tengah. Apa yang boleh kami buat sama ada mencari sumber lain (pembekal bahan mentah) yang menjual harga lebih murah berbanding tempat biasa atau kecilkan saiz produk yang dijual supaya harga boleh dikekalkan, namun sukatannya lebih sedikit,” ujarnya.

Bagaimanapun, keluarga Asmidar tidak menaikkan harga martabak yang dijual. Sebaliknya mereka menurunkan harga berbanding daripada RM4.50 kepada RM4 sekeping atas alasan tertentu.

“Selepas berbincang, kami sepakat turunkan harga martabak daripada RM4.50 kepada RM4 sahaja. Orang lain naikkan harga, tapi kami pula turunkan supaya orang ramai boleh membelinya.

“Walaupun kami turunkan harga, namun martabak yang dijual masih lagi mengekalkan kualitinya. Malah saiznya juga lebih besar berbanding sebelumnya,” kata Asmidar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI