PETALING JAYA – Penyanyi tersohor Ziana Zain selamat menjalani pembedahan bariatrik akibat masalah gastrik teruk yang dialaminya sejak empat tahun lalu.
Menerusi hantaran dalam Instagram, dia bersyukur kerana dapat bertemu dengan pakaPembedahr yang menasihatinya untuk melakukan rawatan bariatrik sekali gus mencegahnya daripada terus melarat.
“Doktor menjelaskan angin yang selalu dialami itu rupa-rupanya berpunca dari saluran ulu hati yang sudah longgar. Jadi, cecair gastrik boleh senang masuk ke saluran itu.
“Alhamdulillah, berkat kepakaran doktor, saya dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Insya-Allah bebas dari gastrik dan tekanan darah tinggi saya kembali normal.
“Mungkin ramai yang berfikiran bahawa rawatan bariatrik ini hanya untuk penurunan berat badan. Sebenarnya boleh merawat penyakit gastrik, kolestrol dan diabetes juga,” katanya.
Tambah penyanyi yang popular menerusi lagu hit Madah Berhelah itu, sejak diserang penyakit tersebut, banyak aktivitinya terganggu termasuklah jadual pekerjaan.
Malah, Ziana sebelum ini turut pernah ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemeriksaan jantung bagi mencari punca penyakit sebenarnya.
“Sejak 2018 sudah mula rasa ada sesuatu yang tak kena dengan diri ini. Perut cepat rasa tak selesa, angin dalam badan yang menyebabkan kesukaran bernafas serta sukar tidur malam.
“Semua ini banyak mengganggu urusan harian dan kerja. Selepas membuat beberapa pemeriksaan rupa-rupanya ada masalah gastrik,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE