fbpx

Will Smith dilarang hadiri Oscar selama 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONTROVERSI tamparan Will Smith terhadap Chris Rock mengakibatkan dia dilarang sama sekali menyertai sebarang anugerah besar Oscar selama sedekad.

INSIDEN menampar pelawak Chris Rock di pentas Oscar pada 28 Mac lalu mengakibatkan pelakon, Will Smith dilarang hadir ke sebarang majlis membabitkan anugerah besar di Hollywood selama 10 tahun.

Keputusan tersebut disepakati Ahli Lembaga penganjur, Akademi Seni Filem dan Sains yang mengesahkan larangan berkenaan berkuat kuasa bermula dari 8 April 2022, sama ada secara fizikal mahu pun maya.

Dengan larangan itu, bermakna Smith yang meraih trofi Pelakon Terbaik menerusi filem King Richard tidak akan menyampaikan salah satu anugerah utama di majlis Oscar tahun depan yang merupakan tradisi untuk pemenang edisi terdahulu.

Bagaimanapun, Ahli Lembaga Akademi tidak memutuskan sama ada menarik balik anugerah pelakon terbaik yang dimenangi Smith atau melarangnya daripada mendapat sebarang pencalonan atau kemenangan Oscar pada masa hadapan.

Filem terbaharu aktor berusia 63 tahun itu berjudul Emancipation dijangka ditayangkan dalam tempoh beberapa bulan lagi yang mengisahkan cubaan seorang lelaki membebaskan diri daripada menjadi hamba.

“Larangan terhadapnya dilakukan bagi tujuan melindungi karyawan seni dan tetamu agar terus meletakkan kepercayaan kepada Anugerah Akademi.

“Selama insiden pergeseran antara mereka terjadi, kami tidak cukup menangani situasi tidak terduga ini. Kami tidak bersedia untuk isu yang belum pernah terjadi sebelumnya. Untuk ini, kami minta maaf.

“Terima kasih kepada Rock kerana menangani situasi terjadi dengan profesional,” kata kenyataan berkenaan.

Terdahulu, keputusan tersebut dibuat di mesyuarat Lembaga Gabenor yang diadakan semalam di Los Angeles, yang sepatutnya dijadualkan pada 18 April, namun dipercepatkan selepas Smith mengumumkan peletakan jawatan minggu lalu.

Seorang anggota lembaga mendedahkan, keputusan tersebut turut disegerakan selepas menerima banyak perdebatan berhubung impak tindakan kasar Smith di pentas acara langsung yang diikuti jutaan penonton.

Surat Akademi ke-94 kepada Smith menjelaskan bahawa majlis anugerah Oscar bertujuan meraikan individu yang telah bekerja keras melangkaui jangkaan, namun tindakannya tidak boleh diterima selain mengundang bahaya.

Dalam satu kenyataan balas, Smith berkata, dia menerima dan menghormati sebarang keputusan atau hukuman daripada pihak Akademi malah sebelum itu sudah memohon maaf atas ketelanjurannya.

“Saya sepenuhnya akan menerima sebarang akibat susulan kelakuan saya. Tindakan saya semasa penyampaian Anugerah Akademi Ke-94 mengejutkan, menyakitkan dan tidak boleh dimaafkan,” katanya.

Kejadian berlaku ketika Rock yang naik ke pentas untuk menyampaikan trofi membuat lawak mengenai penampilan isteri Smith, Jada Pinkett yang berimej botak dengan menyamakannya seperti watak GI Jane lakonan Demi Moore.

Walaupun waktu itu dia dilihat turut tertawa mendengar jenaka berkenaan, selepas insiden tamparan Smith yang menuju ke tempat duduknya semula sempat memberi amaran keras melarang nama isterinya disebut-sebut lagi.

Sebelum ini, penganjur Akademi pernah memecat beberapa ahlinya yang terbabit dalam kes gangguan seksual dan rogol.

Antaranya termasuk penerbit filem, Harvey Weinstein pada 2017 serta bintang veteran, Bill Cosby, setahun kemudian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI