PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bahawa kehadiran murid secara bersemuka tanpa penggiliran bagi sekolah rendah di negeri Kumpulan A adalah bermula pada 17 April ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, bagi sekolah rendah di negeri Kumpulan B pula, kehadiran murid secara bersemuka tanpa penggiliran pula adalah bermula pada 18 April ini.
“Negeri Kumpulan A terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu mana negeri Kumpulan B adalah Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Ketetapan ini adalah terpakai kepada semua murid sekolah swasta, termasuk sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang setara dengan sekolah rendah KPM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata kenyataan itu, keputusan tersebut adalah dengan mengambil kira kelancaran pengoperasian sekolah rendah secara bersemuka bermula pada 21 Mac lalu dan pengoperasian sekolah menengah secara bersemuka tanpa penggiliran bermula pada 4 April lalu serta pandangan daripada
Kementerian Kesihatan (KKM).
“KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE