fbpx

Siasatan bermula sejurus mangsa pulih sepenuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarul Zaman Mamat berbual mesra dengan pengunjung pada Majlis Berbuka Puasa di Angsana Mall, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis akan memulakan siasatan melibatkan insiden empat penyelam yang hilang di Pulau Tokong Sanggol, Mersing selepas ketiga-tiga mangsa yang selamat pulih sepenuhnya.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ketiga-tiga mangsa ketika ini masih menerima rawatan dan berada dalam pemantauan pasukan kesihatan.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan itu akan meliputi pelbagai aspek termasuk kelayakan jurulatih selam, Kristine Grodem.

“Ya, kita akan siasat daripada pelbagai segi termasuk sama ada berlaku kecuaian dalam pengendalian latihan serta adakah sesi latihan itu mematuhi peraturan termasuk prosedur operasi standard ditetapkan.

“Buat masa ini mangsa-mangsa yang terselamat masih trauma. Mereka memerlukan masa untuk pulih dan sebaik sahaja keadaan mereka stabil kita akan rakam percakapan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Pegawai dan Anggota Polis Dalam Ops Tambak di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.

Rabu lalu seramai empat penyelam warga Eropah dilaporkan hilang selepas melakukan aktiviti menyelam di pulau berkenaan.

Mangsanya terdiri daripada Kristine Grodem, 35 dari Norway; Adrian Peter Chesters, 46, dari Britain dan wanita warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18 serta Nathan Renze Chesters, 14.

Grodem, Peter Chesters dan Alexandra Molina ditemui selamat kelmarin dan awal hari ini, manakala Renze Chesters disahkan telah maut oleh bapanya, Peter Chesters.

Sementara itu, katanya, tahap keselamatan di Johor khususnya di bandar raya ini terkawal sepanjang tempoh pembukaan semula sempadan antarabangsa negara.

Jelas beliau, pihaknya tidak menerima sebarang laporan melibatkan kejadian jenayah terhadap warga Singapura kecuali satu laporan kejadian pecah rumah setakat ini.

“Selepas siasatan dijalankan, kejadian berkenaan didapati telah lama berlaku dipercayai dalam tempoh pandemik iaitu sebelum sempadan antarabangsa dibuka,” katanya.

,Menurut beliau, pihaknya telah menggerakkan seluruh kekuatan Polis Kontinjen Johor seramai 1,600 pegawai dan anggota untuk memastikan tahap keselamatan Johor sentiasa terkawal.

“Sejak sempadan dibuka kita menempatkan pegawai dan anggota di seluruh negeri termasuk di 41 lokasi panas yang dikenal pasti melibatkan kawasan tumpuan ramai termasuk pelancong Singapura.

“Kami akui jalan raya agak sesak ketika ini, namun ia dalam kesesakan yang terkawal. Nasihat kami adalah pemandu kekal patuh arahan dan tidak memotong barisan,” tambahnya.

Sempadan Malaysia-Singapura telah kembali dibuka sejak 1 April lalu selepas ia ditutup akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada 18 Mac 2020. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI