WASHINGTON – Dua penumpang sebuah syarikat penerbangan dituduh berkelakuan tidak terkawal dan dikenakan denda yang besar oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), lapor akhbar Daily Star semalam.
Pengawal selia penerbangan AS mengenakan denda sebanyak AS$81,950 (RM345,951) dan AS$77,272 (RM326,203) kepada dua penumpang wanita yang tidak didedahkan identiti mereka.
Denda itu diumumkan oleh Setiausaha Pengangkutan AS, Pete Buttigieg semalam.
“Jika anda berada di dalam kapal terbang, jangan jadi dungu dan membahayakan kru penerbangan dan penumpang lain,’’ kata Buttigieg ketika muncul di rancangan televisyen The View.
Denda itu dikenakan ke atas penumpang pesawat American Airlines yang didakwa menolak seorang pramugari ketika penerbangan selepas cuba memeluk dan mencium yang lain. Wanita itu juga meludah dan menggigit seorang penumpang.
Dalam satu kes pada 7 Julai tahun lalu, seorang wanita ditahan selepas cuba membuka pintu kabin. Organisasi itu berkata, wanita berkenaan didakwa meludah, menanduk dan cuba menendang anak kapal dan penumpang lain.
Dalam penerbangan lain pada 16 Julai tahun lalu dari Las Vegas ke Atlanta, seorang wanita terpaksa ditahan secara fizikal. Dia didakwa menggigit seorang penumpang beberapa kali dan berjalan ke hadapan pesawat untuk cuba keluar, kata agensi itu.
Syarikat-syarikat penerbangan AS mencatatkan rekod tertinggi jumlah penumpang yang mengganggu penerbangan sejak awal 2021. Kebanyakan kes melibatkan keengganan memakai pelitup muka.
Sejak Januari tahun lalu, organisasi itu telah mengenakan dasar toleransi sifar dan mengenakan denda berjumlah AS$7 juta (RM29.5 juta) terhadap penumpang yang mengganggu penerbangan. – Agensi