fbpx

16 warga Malaysia mangsa sindiket tipu iklan pekerjaan diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara warga Malaysia mangsa sindiket tipu iklan pekerjaan yang berjaya diselamatkan di Kemboja pada Selasa lalu.

KUALA LUMPUR – Seramai 16 orang warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket tipu iklan pekerjaan terkandas di Kemboja berjaya diselamatkan di Preah Sihanouk Province, Kemboja pada Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, usaha itu dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol), Aseanapol, Kementerian Dalam Negeri serta Cambonian National Police.

“Kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan terdiri daripada 15 lelaki serta seorang wanita berusia lingkungan 19 hingga 43 tahun telah diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan Facebook sebagai pegawai khidmat pelanggan di Kemboja.

“Mangsa ditawarkan dengan gaji lumayan manakala segala kos perbelanjaan perjalanan ditanggung pihak syarikat di Kemboja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, sindiket bertindak merampas dokumen perjalanan, mengawal pergerakan dan mengurung mangsa dengan kawalan yang ketat setelah mereka tiba di negara itu.

Mengulas lanjut, mangsa hanya baru menyedari pekerjaan sebenar dan diperdaya setelah sampai di negara terbabit.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipaksa untuk bekerja sebagai scammer.

“Kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan kini berada di Phnom Penh sementara menunggu penerbangan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI